Roh Umpama Mawar

0 92
Roh manusia itu adalah umpama bunga mawar
Setiap kali menyebut dan mengingati Allah (Zikrullah), keadaannya segar bugar,
Dan setiap kali lalai dari Zikrullah, keadaannya begitu layu.
Kalam Syeikh Amdan Maulana

Jasad dan roh adalah saling melengkapi. Tanpa roh, jasad tidak akan sesekali bernyawa dan roh tanpa jasad pula tiadalah ertinya. Tapi sayang seribu kali sayang bila kita hanya tahu dan reti menjaga jasad semata-mata dan langsung tidak pedulikan roh kita. Adakah roh kita berada dalam keadaan sihat sejahtera hari ini?

MAKANAN UNTUK JASAD

Jasad memerlukan air, makanan dan oksigen untuk terus hidup. Dalam masa yang sama, untuk terlihat segar, bermaya dan cantik, manusia telah melengkapkan jasad dengan pelbagai-bagai kehendak dan keperluan termasuklah baju-baju yang bergaya, mekap, wangi-wangian dan bermacam-macam lagi perhiasan yang lainnya.

MAKANAN UNTUK ROH

Namun, sayang seribu kali sayang. Manusia lupa untuk memberi makanan berupa zikir dan terapi-terapi diri yang positif bagi keperluan jiwa atau roh. Manusia bukan sahaja meninggalkan kewajipan solat fardhu bahkan sama sekali lalai dalam mengingati Allah. Maka, semakin hari, roh semakin mati. Mati dalam mengenal kebaikan. Mati dalam mengenal kegamaan.

Apabila 3 hari kita tidak membaca dan mendengar mengenai agama,
Apabila 3 hari kita terlupa mengingati Allah,
Maka hati akan terus jatuh sakit,
Dan apabila 40 hari pula,
Hati akan terus mati.

Masya-Allah, bayangkan pula ketika roh kita dicabut ketika dalam keadaan sedemikian. Apakah kita masih berpeluang untuk menikmati indahnya husnul khatimah? Jom sama-sama kita renungkan. Apalah ertinya hidup kita hari ini kalau bukan semata-mata untuk mencari bekal ke akhirat? Maka janganlah kita lalai dan leka. Percayalah, setiap apa yang kita lakukan, ada balasannya di sisi Allah SWT.

Wangikanlah Hatimu Dengan Mengingati Allah SWT

Kak Ayu doakan agar kita semua tergolong dalam kumpulan-kumpulan yang mendapat rahmat di sisi Allah SWT. Tak salah untuk kita bercantik-cantik tetapi, biarlah seimbang antara keperluan jasad dan keperluan roh kita. Barulah kita bukan sahaja cantik di luar tetapi dalam masa yang sama juga, cantik di dalam.

 

You might also like More from author

Leave A Reply

Your email address will not be published.